Misteri Batu Nisan Bernyawa


Perkuburan lama dipercayai berusia lebih 150 tahun di Kampung Lintang itu ditemui penduduk lebih 30 tahun lalu. Menurut cerita, tiga orang yang meninggal dunia dikebumikan di kubur berkenaan dengan batu nisannya daripada serpihan batu gua.

Bagaimanapun, enam daripada puluhan batu nisan di situ dipercayai hidup dan menjadi semakin tinggi, sedangkan batu nisan lain dalam keadaan biasa saja. Kampung Lintang dibuka hampir 200 tahun lalu oleh penduduk yang bekerja sebagai penanam padi dan pekebun buah-buahan.

Selepas itu, kebanyakan mereka berhijrah ke kawasan lain untuk menikmati kemajuan terutama perhubungan jalan raya, tetapi pada tahun 60-an dibuka semula oleh generasi baru sebelum menemui kubur lama itu. Hanya enam penduduk yang membuka semula penempatan baru di kampung berkenaan dan menemui kubur lama yang mempunyai batu nisan aneh itu.

Namun, sesetengahnya berpindah pula ke Kampung Kuala Sungai di seberang sungai berkenaan kerana dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk sekolah, bekalan air paip dan elektrik.

Kampung lama itu ditinggalkan dan terbiar begitu saja dengan beberapa rumah usang yang menunggu masa menyembah bumi. Sejarah yang tinggal hanya kubur lama berkenaan sebagai bukti mereka orang terawal tinggal di situ.

Perjalanan ke kubur lama di kampung itu hanya menerusi bot sungai dari Pekan Bertam Baru dengan mengambil masa hampir 50 minit menyusuri Sungai Galas.

Di kawasan itu juga terdapat sebuah kampung terpencil yang hanya mempunyai sebuah rumah didiami sepasang suami isteri.

Seorang penduduk, Nik Lah Nik Yaacob, 80, berkata, dia tinggal di kampung itu bersama lima rakannya sejak 1963.

Menurutnya, pada waktu itu dia menaiki bot dari Kuala Krai ke kawasan berkenaan untuk membuka tanah.
Ketika mula menjejakkan kaki ke kampung berkenaan, pak cik dan yang lain menemui kubur lama itu termasuk batu nisan hidup semakin meninggi serta dikelilingi hutan.

Melihat keadaan itu, "penduduk bergotong-royong membersihkan kawasan kubur dan sekitarnya, namun ia terbiar semula kerana sudah tidak ada lagi penduduk. Cuma pak cik bersama isteri masih kekal tinggal walaupun keadaan begitu sunyi di sini"katanya.
 
Copyright © 2014 ISU SEMASA - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info