Sebuah Bar & AirAsia Bersikap Teruk Terhadap Isu MH370


Malaysia masih lagi bersedih terhadap tragedi yang menimpa pesawat MH370 yang belum diketahui akan nasibnya. Namun begitu, terdapat segelintir individu yang seakan tidak peka dengan kesedihan yang melanda, terutamanya kepada keluarga mangsa.

Sebuah bar di New York dikecam hebat setelah menyajikan minuman beralkohol yang dinamakan bersempena dengan nama pesawat MH370.

Koktail ‘Flight 370’ telah ditambah ke dalam senarai minuman di bar tersebut minggu lepas, tidak lama selepas perdana menteri Malaysia mengumumkan bahawa 239 penumpang yang menaiki pesawat tersebut telah tenggelam di kedalaman Lautan Hindi.


Minuman yang berharga $13 itu diperbuat daripada campuran gin, lemon, aperol dan cuka limau gedang, telah ditambah ke dalam senarai minuman di belakang bar tersebut yang bernama Mother’s Ruin. Bar tersebut dimiliki oleh TJ Lynch dan Richard Knapp dan sangat terkenal sebagai ‘tokong koktail’ dalam kalangan penduduk sekitar.

Pemilik bar tersebut memberitahu Mailonline Travel bahawa minuman tersebut telah dikeluarkan daripada menu. Kata mereka: “Kami menukar senarai koktail dan nama koktail setiap minggu dan kadangkala dua kali semiggu. Salah seorang pembantu bar kami yang meletakkan koktail ‘Flight 370’ ini dalam senarai. Rasanya tidak sedap dan dikeluarkan dari senarai sebaik sahaja dilihat oleh kami, pemilik bar.”

“Tragedi menyayat hati pesawat 370 bukan satu perkara yang melucukan dari sudut apa pun dan kami ingin memohon maaf kepada sesiapa yang terguris akibat perkara ini,” tambah mereka lagi.

Tetapi, bukan hanya bar tersebut sahaja yang menunjukkan sikap teruk dengan menggunakan nama pesawat tersebut yang hilang pada 8 Mac lalu ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Syarikat penerbangan tambang murah AirAsia telah menarik balik majalah mereka yang diedarkan dalam penerbangan setelah menerbitkan sebuah artikel berbaur riak yang menyatakan bahawa juruterbang mereka yang terlatih tidak mungkin akan menghilangkan sebuah pesawat.

Perenggan terakhir dalam kolum penerbangan majalah itu berbunyi: “Latihan penerbangan dalam AirAsia adalah berterusan dan sangat terperinci. Jangan bimbang kerana kapten anda telah bersedia untuk memastikan pesawat yang dinaiki tidak akan hilang.”


Artikel tersebut menimbulkan kemarahan dalam media sosial setelah penumpang AirAsia memuatnaik gambar teks tersebut ke dalam Twitter. Syarikat penerbangan tersebut membuat permohonan maaf dan menarik balik majalah tersebut, dengan alasan bahawa artikel tersebut telah ditulis oleh juruterbang yang telah bersara yang pernah bekerja dengan kedua-dua syarikat penerbangan itu sebelum kehilangan pesawat MAS lagi.

Pengerusi Eksekutif AirAsia Kamarudin Meranun menyatakan penyesalan beliau berhubung isu terkini majalah ‘travel 3Sixty’ yang telah dicetak sebelum kehilangan pesawat MAS tersebut. Kata beliau: “Sekarang merupakan masa yang sukar untuk masyarakat dan tiada perkataan yang dapat menggambarkan apa yang saya rasa dengan insiden ini. Ia sememangnya sangat menyedihkan saya kerana artikel ini diterbitkan pada masa yang salah. Sekali lagi, saya meminta maaf dengan seikhlas hati atas sebarang kesukaran yang disebabkan oleh artikel ini.”

Ketua Eksekutif AirAsia, Tony Fernandes juga turut meminta maaf atas kejadian tersebut. “Sebaik sahaja diberitahu melalui Twitter, kami segera menarik balik majalah. Sekali lagi, kami minta maaf. Ia adalah masa yang sangat sukar untuk semua yang terlibat dalam industri ini,” tweet beliau.

Apa-apa pun, tahniah diucapkan kepada mereka yang bertanggungjawab yang segera meminta maaf di atas kekhilafan masing-masing. Itu baru namanya profesional.



 
Copyright © 2014 ISU SEMASA - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info