Pelan catuan air dilapor terjejas di beberapa kawasan di Jalan Universiti Petaling Jaya, Jalan Prima Setapak dan Taman Bukit Kajang Baru, Kajang berikutan kejadian paip pecah, sejak kelmarin.
Penolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), Priscilla Alfred berkata bekalan air ke semua kawasan terlibat terputus dan tempoh pembaikannya belum ditentukan lagi.
"Bekalan air akan disalur kepada kawasan terlibat sebaik sahaja kerja-kerja pembaikan paip pecah itu selesai," menurutnya dalam kenyataan semalam.
Katanya, pengguna kawasan berkenaan akan menerima tempoh penyaluran air yang lebih panjang dari jadual catuan bagi mengurangkan kesulitan yang dihadapi mereka.
Sementara itu, operasi Loji Rawatan Air (LRA) Wangsa Maju oleh Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (PNSB) terpaksa dihentikan ekoran tahap kekeruhan air di Sungai Gombak, walaupun aliran air didapati banyak selepas hujan, katanya.
Priscilla berkata, SYABAS dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menyiasat dakwaan penduduk Perumahan PPR Salak Selatan kononnya pembekalan air ke kawasan mereka tidak mengikut jadual.
Katanya, hasil siasatan mendapati masalah itu hanya berlaku di kediaman Blok A dan ia berpunca daripada bekalan air dipam terpaksa memenuhkan tangki simpanan bomba yang telah kosong akibat digunakan penduduk ketika hari catuan.
"Injap pengawal aliran air di tingkat 10 bangunan itu juga didapati tidak berfungsi lalu menyebabkan simpanan air tangki sedutan tidak dapat dikawal, sekaligus menyukarkan penyaluran bekalan air bagi penduduk di tingkat 11 hingga tingkat 17," katanya.
Priscilla berkata, pengambilan air dari pili atau tangki simpanan bomba dilarang sama sekali kerana simpanan air tersebut adalah bagi kegunaan mencegah dan memadam kebakaran.
Katanya, Badan Pengurus Bersama dan Pengurus Bangunan Kediaman digesa melakukan pemeriksaan berkala bagi memastikan sistem perpaipan dalaman premis kediaman dan sistem pengepaman sentiasa berfungsi dengan baik. - Bernama