Satelit negara kita rupa-rupanya hanya mampu untuk buat siaran lansung untuk pertandingan bolasepak dan konsert-konsert hiburan!
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata wujud keperluan untuk Malaysia meningkatkan kekuatan aset ketenteraan khususnya selepas insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370. Beliau berkata selain sistem radar, teknologi lain juga perlu dikaji semula bagi melengkapkan angkatan tentera dengan aset yang lebih baik.
“Malaysia telah membuat keputusan amat berani untuk memaklumkan mengenai keupayaan pertahanan negara, Dan kini (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib (Tun Razak) perlu mencari wang untuk saya menukar sistem radar kita kerana seluruh dunia kini sudah tahu keupayaan pertahanan negara dari segi radar,” katanya secara berseloroh.
“Kami sanggup lakukan itu, mengetepikan kepentingan negara demi untuk mencari MH370. Apa lagi yang rakyat mahukan daripada kerajaan Malaysia dan daripada ATM (Angkatan Tentera Malaysia),” kata Pemangku Menteri Pengangkutan itu dalam sidang media khas untuk media tempatan berhubung insiden kehilangan pesawat itu, di Kuala Lumpur semalam.
Ditanya sama ada wujud keperluan untuk Malaysia memiliki teknologi seperti sonar untuk kapal-kapal tentera dan kapal selam, beliau berkata ia perlu merujuk kepada konteks keselamatan dan ketenteraan negara termasuk kedudukan negara sebagai anggota Asean. Jelas Hishammuddin, bukan hanya Malaysia, malah banyak negara lain di dunia juga perlu menilai semula kekuatan aset dan teknologi ketenteraan masing-masing.
“Jika anda perasan, maklumat yang kita kesan adalah daripada satelit komersial bukan tentera. Jadi angkatan tentera di seluruh dunia perlu mengkaji semula keupayaan mereka. “Saya percaya semua sedang melakukannya. Tetapi tugas saya (ketika ini) hanyalah untuk mencari MH370,” katanya.
Pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang pada 8 Mac setelah sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.
Pada Isnin lepas, iaitu hari ke-17 operasi mencari, Najib mengumumkan berdasarkan analisis data satelit Inmarsat dan AAIB United Kingdom, penerbangan MH370 “berakhir di selatan Lautan Hindi”. – Bernama
ULASAN
Nampaknya ekoran daripada kehilangan pesawat MH370, maklumat mengenai keselamatan negara telah bolos dan dikompromikan kepada negara-negara lain. Kata Hishamuddin: seluruh dunia kini sudah tahu keupayaan pertahanan negara dari segi radar”.
Apa tahap keupayaan radar kita? Zero!
Satelit negara kita rupa-rupanya hanya mampu untuk buat siaran lansung untuk pertandingan bolasepak dan konsert-konsert hiduran! Beli 2 buah scorpene, RM7.3 billion tapi tak boleh digunakan untuk SAR kerana tak dilengkapi dengan ciri-ciri pencarian dan menyelamat! Lama-lama scorpene ini obselete dan bakal dimuziumkan.
Kedua, kata Hishamuddin lagi “Kami sanggup lakukan itu, mengetepikan kepentingan negara demi untuk mencari MH370.”
Bererti negara kita kini begitu terdedah… kepentingan negara sudah diketepikan. Maklumat pertahanan negara diketahui oleh seluruh dunia yang membawa erti Malaysia menjadi negara yang sudah terdedah untuk diserang dan dijajah oleh mana-mana negara lain….Anehnya Hishamuddin menambah lagi: bukan hanya Malaysia, malah banyak negara lain di dunia juga perlu menilai semula kekuatan aset dan teknologi ketenteraan masing-masing.
Jawapannya itu sama kisah Pak Pandir dan Mak Andeh. Bukankah apabila anak Pak Pandir mati kerana kecuaiannya, beliau menyatakan pada Mak Andeh, “bukan anak kita sahaja yang mati, anak orang lain juga mati.”
Samalah dengan hujjah hishamuddin itu, “bukan Malaysia saja kena menilai aset dan teknologi ketenteraan, negara lain juga…”
Namun yang ketara, Malaysia kini amat terbuka dengan ancaman dan serangan akibat dari kelemahan sistem pemerintahan negara yang ada kini. Mengeri dan menakutkan.