Terkini: Hisammuddin Mempunyai Senarai 4 Nama Pemilik Passport Palsu



lebih kurang pada jam 12.35 tgh tadi, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan agensi perisikan tempatan dan antarabangsa sedang menyiasat empat nama dalam senarai penumpang MH370 yang hilang sejak 1.30 pagi Sabtu lalu.  Dalam sidang akhbar di Pusat Media di KLIA sebentar tadi, Hishammuddin berkata, beliau mempunyai senarai empat nama berkenaan. 

"Kesemua empat nama ada bersama saya dan telah diberikan kepada agensi perisikan berkaitan dan saya juga telah bercakap dengan agensi perisikan antarabangsa untuk membantu.

"Kita melihat kepada semua kemungkinan termasuk aktiviti pengganas. Nama-nama ini adalah nama yang dibincangkan dalam sosial media dan ada dalam senarai nama penumpang. Kita juga melihat dan menyiasat kepada semua senarai nama," jelas Hishammuddin.

Hishammuddin berkata, pegawai Agensi Perisikan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI) telah pun berada di negara ini dan beliau akan mengadakan perbincangan dengan mereka hari ini. Sementara itu, Hishammuddin mengesahkan terdapat kesan minyak dijumpai di perairan Vietnam.

"Memang terdapat kehadiran minyak diperairan Vietnam tetapi tak ada serpihan. Kerajaan Vietnam telah menghantar kapal bagi mengesan sama ada minyak ini ada kaitan dengan pesawat MH370," jelas Hishammuddin. Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, keutamaan kerajaan kini adalah untuk mencari pesawat MH370. 

"Dalam hal ini kemungkinan kapal terbang berpatah semula juga diambil kira dalam operasi ini," kata Hishammuddin.-UTUSAN ONLINE
 
Copyright © 2014 ISU SEMASA - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info