Rumusan Berita MH370, setakat 60 jam



60 jam tanpa khabar berita, kisah kehilangan pesawat MAS MH370 terus menerus menjadi tajuk laporan berita-berita utama dunia. Dari breaking news, sampai ke analisis dan kisah ingatan dari ahli keluarga.

Semua dilaporkan dengan satu tanda soal besar, apakah yang sebenarnya terjadi.

Bagi wartawan yang berkumpul di Hotel Sama-Sama KLIA -tempat yang dijadikan bilik operasi media, keadaan juga samar-samar.

Sidang media terakhir yang dilakukan oleh Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Malaysia, Datuk Azharuddin Abdul Rahman pukul 12.00 tengah hari Isnin, keadaannya kekal sama. 

Menurutnya serpihan yang ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Vietnam di lokasi yang didakwa tempat pesawat tersebut hilang telah dipastikan bukan milik pesawat berkenaan.

Kesimpulan itu diputuskan selepas pihaknya mendapati selepas menghubungi dan berbincang dengan kerajaan Vietnam.

"Semua laporan mengenai penemuan serpihan kita siasat namun tidak ada pengesahan rasmi termasuk dari Tentera Vietnam, tiada apa-apa yang ditemui sehingga kini (Isnin 12.00 tengahhari)," ujarnya.

Mengenai tompokan minyak yang ditemui pula, Azharuddin memaklumkan bahawa sampel bahan itu masih lagi sedang dikaji oleh pihak berkuasa.

"Kami juga sedang menuggu petunjuk dan keputusan kajian dan akan memaklumkan kepada anda semua sebaik sahaja semua itu diperoleh," kata beliau

Beliau menyifatkan apa yang jadi pada pesawat B777 milik MAS itu sebagai misteri yang tidak pernah berlaku.

Azharruddin ketika ditanya  cakap-cakap pihak berkuasa menumpukan siasatan ke arah letupan di udara pada ketinggian 35,000 kaki, berkata pihaknya meneroka segala kemungkinan.

"Semua aspek yang dibangkitkan kita siasat untuk mengenai punca sebenar apa yang terjadi..."

Ketika ditanya bertubi-tubi mengenai mengapa lambat jumpa, Azharuddin minta wartawan ingat kembali kejadian kehilangan pesawat Air France di Laut Atlantik 2009 yang mengambil masa dua tahun sebelum ditemui.

Seorang pegawai menteri memberitahu Agendadaily, tidak ada banyak perkembangan baru yang boleh diumumkan secara konkrit kerana ketiadaan bukti kukuh.

"Jika letupan di udara, serpihan pesawat adalah bersekala besar dan dalam satu kawasan yang luas, jika terhempas ke laut, serpihak lebih kecik, dalam satu kawasan yang terarah, namun sehingga kini tiada apa yang ditemui,"kata beliau yang mempunyai pengetahuan berkenaan siasatan pihak berkuasa.

Menurutnya, sebab utama sidang media yang dijadualkan pada awalnya setiap dua jam, tapi kemudian makin dijarakkan masa adalah tiada perkembangan terkini.

"Keadaan sama, tiada petunjuk baru, pasukan penyiasat 'pecah kepala' meneroka setiap kemungkinan,"ujarnya. 

 
Copyright © 2014 ISU SEMASA - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info