Dua warga emas, Abd Karim Salleh, 64, dan Ramli Yusop, 63, berhasrat untuk memenuhi impian mereka berbasikal ke Mekah, dan memulakan kayuhan mereka dari Semenyih, Selangor ke Pengkalan Hulu, Sabtu lepas sebelum meninggalkan Malaysia melalui Betong, Thailand hari ini.
Bekas anggota komando Unit Payung Terjun Angkatan Tentera Malaysia dan pesara guru tersebut telah merancang untuk berbasikal ke Mekah sejak setahun lalu dan mereka yakin dapat sampai ke Tanah Suci untuk menunaikan umrah.
Perjalanan kedua-dua mereka yang berasal dari Selangor itu akan melalui India, Iran, Pakistan, Emiriah Arab Bersatu, Makkah, Madinah, Baitulmaqdis, Jordan, Palestin, Iraq dan Turki.
Selain ke Mekah, kedua-dua individu itu juga berhasrat ke Madinah serta menziarahi masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis.
Menurut Ramli, perjalanan ke Mekah dijangka mengambil masa lebih tiga bulan.
``Saya akan terus melakukan kayuhan selepas pulang dari Mekah bagi membuktikan bahawa rakyat Malaysia juga mampu melakukan apa yang dilakukan mereka dari negara lain,'' katanya ketika ditemui pemberita sebelum memulakan kayuhan meninggalkan Malaysia di sini, hari ini.Sementara itu, Abd. Karim berkata, projek kayuhan basikal itu mendapat sokongan dan bantuan Kementerian Belia dan Sukan, Persatuan Veteran Komando Malaysia serta menerima sumbangan daripada pelbagai pihak.
``Kami hargai dan sanjung tinggi bantuan dan sumbangan semua pihak hingga misi kayuhan ini berhasil,'' katanya.Kedua-duanya yang kelihatan bersemangat berharap hasrat mereka untuk tiba dengan selamat ke destinasi impian dengan hanya berbasikal tercapai. - BERNAMA
PakuDeras - Semoga mereka selamat sampai dan kembali ke tanah air...