Tengku Razaleigh Hamzah Sokong Hudud Dilaksanakan


Kenyataan Tengku Razaleigh Hamzah menyokong usaha Kerajaan Kelantan melaksanakan hudud dilabelkan sebagai petanda baik untuk undang-undang itu dijalankan di peringkat Pusat.

Setiausaha Lajnah Dakwah Pas Pusat, Dr Riduan Mohd Nor berkata, jika pemimpin Umno sendiri berpendirian serupa, tiada sebab untuk hudud tidak dilaksanakan.

Jika ia benar lahir dari hati pemimpin Umno, maka pelaksanaan hudud tidak ada halangan untuk dilaksanakan Kerajaan Pusat dan kita boleh menaruh harapan ia bakal menjadi realiti tidak lama lagi. Program penerangan isu hudud perlu dijadikan agenda bersama Kerajaan Persekutuan dan PR agar rakyat, khasnya bukan Islam memahami dalam konteks sebenar.

“Selain itu, Kerajaan Kelantan perlu dijadikan model ikutan negeri lain dalam melaksanakan hudud. Kerajaan Persekutuan juga boleh ambil panduan daripada Kelantan supaya hudud dijadikan agenda nasional dan dilaksanakan sepenuhnya beberapa tahun akan datang,” katanya.

Dalam kenyataannya yang disiarkan Sinar Harian semalam, Tengku Razaleigh berkata, Umno Kelantan menyokong usaha kerajaan negeri untuk melaksanakan hukum hudud di negeri itu.

Sebelum ini, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob memberi jaminan negeri itu  akan melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 merangkumi hukum hudud selewat-lewatnya pada 2015.

Menurut Riduan, kesediaan Kelantan melaksanakan hukum hudud juga membuktikan Pas benar-benar serius melaksanakan undang-undang Islam.
 
Copyright © 2014 ISU SEMASA - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info