# MH370: Teori konspirasi Mekanisme Orang Ramai Memahami Sesuatu Peristiwa


Kita mungkin akan mengetahui apakah nasib yang menimpa pesawat Penerbangan Malaysia MH370 yang telah hilang hampir tiga minggu lalu, atau mungkin juga tidak.

Atau mungkin juga, biar apa sahaja penemuan dari serpihan pesawat atau kotak hitam  yang ditemui, sebahagian dari kita berkemungkinan tidak akan dapat menerimanya.

Pengumuman Perdana Menteri yang  pesawat malang itu hilang di bahagian selatan Lautan Hindi, hadir pada hari ke-17 selepas pesawat itu hilang pada 8 Mac lalu, ketika dalam perjalanan daripada  Kuala Lumpur ke Beijing, China.

Namun, sejak itu juga pelbagai spekulasi dan teori samakin banyak yang timbul, sehinggakan ke hari ini ada antara kita yang mempersoalkannya (kehilangan pesawat), masih berharap yang pesawat membawa 239 nyawa itu menemui nasib yang lebih baik, tidak hilang di bawah dasar Lautan Hindi.

Berasaskan teori konspirasi juga, ada yang beranggapan kerajaan cuba menyembunyikan sesuatu.

Ada yang mendakwa pesawat dirampas, mendarat di satu kawasan yang tersembunyi dan akan dijadikan senjata. Ada pula yang berkata kejadian didalangi anggota kumpulan rahsia “Illuminati” bagi mendapatkan hak kepada “paten” sesuatu produk. Ada juga yang berkata kononnya pesawat dilencongkan ke Diego Garcia, bagi menyembunyikan kandungan kargo yang dibawa pesawat. Mana boleh kita mengenepikan teori Segitiga Bermuda, Black Hole dan makhluk asing yang banyak diperkatakan.

Kebanyakkan teori melampau dan paranormal ini agak pelik tanpa asas saintifik untuk menyokongnya, ini hanya meningkatkan harapan terhadap ahli keluarga penumpang dan kru yang masih mengharapkan akan ada petunjuk menjelaskan segalanya, meskipun ia sekadar spekulasi.

Bagaimanapun, menurut satu kajian teori konspirasi ada fungsinya – sebagai satu mekanisme untuk orang ramai menghadapi atau memahami sesuatu peristiwa yang buntu.

“Dalam kes pesawat MH370, adalah sukar untuk memahami bagaimana pesawat boleh hilang. Teori konspirasi memberikan ruang untuk sesetengah orang untuk mendapatkan penjelasan buat mereka yang memerlukannya.

“Saya tidak berpendapat teori konspirasi sentiasa memberikan impak negatif. Ia memenuhi fungsinya dalam masyarakat. Ia mungkin bukan fungsi yang baik, atau membantu, tetapi ia memberikan respon rasional terhadap satu fenomena yang sukar,” kata Dr Viren Swami, seorang pakar psikologi dari Universiti Westminster, United Kingdom.

Swami juga turut menjelaskan bahawa sudah menjadi sifat manusia untuk mendapatkan jawapan (terhadap sesuatu persoalan) dan untuk memahami seuatu yang tidak diketahui atau difahami.

“Seseorang itu mungkin tidak percayakan teori konspirasi, tetapi ia memberikan penjelasan ringkas untuk sesuatu perkara yang sukar difahami. Ia membolehkan (pihak yang menerimanya) merasa lebih lega dan baik. Dengan adanya perasaan ini, ia memberikan mereka suara. Ia memberikan mereka seakan kuasa,” katanya.

Penerimaan pelbagai teori mengenai kehilangan ‘misteri’ pesawat juga dikatakan disumbang oleh maklumat bercanggah yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa, adakalanya tidak disahkan kesahihannya dan juga laporan berbentuk spekulatif oleh pihak media.

Dalam reaksi terhadap peningkatan pelbagai spekulasi, pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussien terpaksa menghabiskan tempoh sidang medianya untuk menangkis khabar angin, spekulasi dan laporan yang tidak sahih.

Namun apabila ada serpihan ditemui, tetapi tidak disokong oleh data konklusif mengenai di manakah posisi pesawat, tidak dapat tidak, ia menguatkan lagi teori ada cubaan untuk menutup ‘sesuatu’.

Menurut Nicholas DiFonzo, seorang pakar dalam bidang kajian  ’khabar angin’ daripada Institut Teknologi Rochester, ramai yang tidak lagi percaya kepada saluran maklumat dan pihak berkuasa terpaksa bekerja keras untuk mengemukakan ‘bukti’ terhadap teori-teori mereka sendiri.

“Adalah penting untuk memastikan orang ramai dan ahli keluarga dimaklumkan (apa jua makumat) bagi mengelak dan menguruskan spekulasi yang tidak diingini. Namun dalam kes ini (MH370) ia sememangnya tidak masuk akal. Saya tidak pasti sama ada penerangan yang lebih baik dari pihak berkuasa akan membantu ( mengurangkan spekulasi),” katanya.

Selain itu, pihak media, internet dan sifat dahagakan maklumat oleh masyarakat memberikan cabaran kepada pihak berkuasa untuk menguruskan krisis sebegini.

“Tumpuan 24-jam media terhadap berita ini menyukarkan lagi keadaan, ini kerana (pihak media) perlu membekalkan orang ramai dengan berita bagi merungkai persoalan. Ramai yang terlalu obses dengan ‘misteri’ ini, ia disumbangkan lagi berita-berita yang disampaikan pihak media, ditambah lagi oleh berita dari internet yang bersifat interaktif,” kata DiFonzo.

Laman media sosial, katanya adalah ruang paling mudah untuk digunakan dan mencetuskan  pelbagai spekulasi.

“Media sosial melakukannya dengan' baik'. Ia memberikan ruang untuk teori konspirasi berkembang tanpa ada pihak yang boleh menangkisnya – tiada bukti-bukti bercanggah atau analisis yang kritikal. Apabila anda memberikan maklumat yang kritikal berkenaan sesuatu teori, ia berjaya mengurangkan andaian ia sekadar satu konspirasi.”

“Rangkaian atas talian adalah “mesra” kepada teori konspirasi dan bertindak sebagai satu ruang bersuara. Mendengar berulang kali dari sumber yang mereka percayai, dan sebagai sebahagian daripada rangkaian dimana ‘kepercayaan’ terhadap teori tertentu disebarkan, menyebabkan seseorang itu akan mudah mempercayai sesuatu teori ,” tambah DiFonzo.

Jadi adakah kita (termasuk mereka yang paling rasional) terdedah untuk menerima dan menyebarkan teori-teori konspirasi,? Jawapannya adalah ‘ya’ kata Swami, namun bergantung kepada pelbagai perkara seperti personaliti dan psikologi seseorang individu.

“Mereka yang lebih mudah terdedah kepada (mempercayai) konspirasi adalah mereka yang mempunyai rasa rendah diri , mereka yang tidak berkuasa dan mereka yang beranggapan tidak diberikan pilihan.

“Apabila anda telah mempercayai teori konspirasi ini, anda juga berkecenderungan untuk menerimanya. Sebagai contoh, jika anda percaya kepada konspirasi serangan 9/11, atau tidak percaya manusia telah menjejak kaki di bulan, anda akan berkecederungan juga untuk mempercayai teori-teori berhubung kehilangan pesawat (MH370),” katanya.


 
Copyright © 2014 ISU SEMASA - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info