air dan elektrik kurang selama Tiga minggu



KUANTAN  - Lebih 100 buah rumah  di Kampung Kuala Kenau, Sungai Lembing di sini terpaksa berjimat dengan penggunaan air akibat masalah kekurangan bekalan air dan elektrik yang berlaku sejak awal Ramadan lalu.

Mereka mendakwa, bekalan air lebih meruncing di kawasan tanah tinggi terutama ketika berbuka puasa manakala masalah elektrik pula kebiasaannya berlaku antara jam 11 malam hingga 3 pagi dan 12 tengah hari hingga lewat malam.

Penduduk, Ahmad Rozani Mat Yusof, 24, mendakwa, masalah itu sebenarnya sering berlaku tetapi Ramadan tahun ini benar-benar menguji kesabaran penduduk.

Menurutnya, mereka sekeluarga terpaksa mengambil masa sehingga dua jam untuk menadah satu baldi air kerana aliran yang sangat perlahan.

“Lebih menyedihkan ketika berlaku gangguan elektrik, bekalan air tidak ada langsung dan saya terpaksa menumpang mandi dan mengambil air di rumah kakak tidak jauh dari sini yang menggunakan saluran air bukit,” katanya.

Ahmad Rozani berkata, bagi menjimatkan masa memasak dan ketika kecemasan, dia membantu keluarga menadah air dan menyimpannya dalam botol.

Rakannya, Khairul Hafiz Said, 27, berharap, masalah itu dapat diselesaikan sebelum Aidilfitri ini bagi memastikan penduduk dapat menikmati keceriaan lebaran.

“Kami sangat memerlukan air dan elektrik pada hari raya bagi memudahkan urusan rumah dapat dijalankan kerana semua keluarga jauh dan dekat akan berkumpul,  katanya.

Bagi suri rumah, Nur Zaliza, 30, ketiadaan air menyebabkan urusan harian seperti membasuh dan mengendalikan anak-anak sukar dilakukan tambahan pula mempunyai anak kecil berusia empat bulan dan menjelang hari raya.

“Aliran air dalam rumah  lebih teruk jika terputus bekalan elektrik dan saya terpaksa mengangkut air dari luar rumah biar pun airnya turut perlahan,” katanya.

Katanya, akibat masalah itu, dua anaknya yang berusia 9 tahun dan 8 tahun kadang-kadang  hanya membasuh muka untuk ke sekolah dan mandi  selepas pulang sekolah. ~ Sumber
0 Komen untuk " air dan elektrik kurang selama Tiga minggu "

 
Copyright © 2014 ISU SEMASA - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info