Pengarah Drama Tempatan Dituduh Ciplak Filem Iran


Pengarah drama tempatan popular, Rashid Sibir melahirkan rasa kesal apabila telah dituduh oleh sesetengah pihak bahawa dia menciplak sebuah filem pendek terbitan negara Iran.

Rashid menjelaskan bahawa dirinya hanya mengambil ilham daripada klip filem tersebut yang berdurasi kurang dari 10 minit itu untuk diolahkan kepada telefilem berdurasi 98 minit.

Telefilem bertajuk "Warkah Syurga" itu dilaporkan telah meniru bulat-bulat idea filem pendek tersebut dan ramai menganggap Rashid seperti kekeringan idea sehingga terpaksa berbuat demikian.

"Perlu difahamkan bahawa menciplak adalah meniru sesuatu benda sepenuhnya. Jika benar saya menciplak karya Iran yang hanya 10 minit itu, dari mana datangnya jalan cerita 88 minit yang lain?" katanya kepada sebuah portal hiburan tempatan.

Sementara itu, pengarah kepada drama bersiri popular "Tanah Kubur" ini turut menyatakan mengambil idea daripada mana-mana karya dan diolah semula kepada karya baru adalah perkara biasa dalam bidang perfileman di seluruh dunia.

Bagaimanapun, Rashid menyifatkan artikel berkenaan kelihatan seperti mahu menghentam dirinya yang sudah lama tidak berkarya, walhal drama arahannya, "Tanah Kubur" sudah pun memasuki musim yang ke-12. ~ Sumber


 
Copyright © 2014 ISU SEMASA - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info