Manusia Berkepala Dan Berwajah Dua Meninggal Dunia


Seluruh dunia telah digemparkan dengan kelahiran bayi berkepala dua yang berkongsi satu badan baru-baru ini. Berita sedih mengenainya Zyra petik dari Daily Mail yang melaporkan bahawa bayi India tersebut meninggal dunia setelah 20 hari bertarung nyawa untuk terus hidup.

Bayi kembar tersebut, yang dilahirkan melalui C-section dan seberat 3.2kg sewaktu dilahirkan pada 13 Mac 2014 yang lalu. Mereka dilahirkan dengan satu badan, dua kepala, dua leher, dua tulang belakang dan dua esofagus serta trakea yang berasingan. Tetapi mereka hanya mempunyai satu jantung dan satu paru-paru setiap seorang.



Lebih tragik lagi apabila ibu mereka, Urmila Sharma, 28 tahun, tidak berani lansung berjumpa dan melihat bayi tersebut sebelum mereka pergi untuk selamanya. Ayah kembar tersebut, Subhash, 32 tahun, berkata: “Berita ini tidak mengejutkan kami tetapi hati kami hancur luluh. Mereka sememangnya bayi yang istimewa. Walupun para doktor telah memberitahu kami bahawa kembar ini mempunyai peluang yang tipis untuk hidup, kami berharap mereka dapat hidup. Saya mahu membesarkan mereka dan memberikan adik kepada anak perempuan saya tetapi tuhan mempunyai perancangan yang lain. Malah kemampuan mereka hidup selama 20 hari adalah satu keajaiban,” ujarnya.


Dr. Shika Malik, yang membidankan kembar tersebut di Sonipat, utara India, berkata pada mulanya ketika salah seorang dari bayi tersebut sedang tidur, seorang lagi pula sedang menangis. Selepas dua hari, kembar tersebut dipindahkan ke All India Institute of Medical Sciences Hospital di Delhi, dan diletakkan di bawah pemerhatian yang ketat di unit rawatan rapi neonatal.

Dr Minu Bajpai, pakar bedah kanak-kanak yang bertanggungjawab ke atas kembar tersebut ketika berada di hospital menerangkan: “Pada akhirnya jantung bayi tersebut menjadi sangat lemah. Mereka mengalami masalah respiratori pada saat mereka dilahirkan, dan mereka kelihatan semakin teruk setiap hari. Akhirnya, jantung mereka yang berhenti berfungsi dan mereka meninggal akibat kegagalan jantung.”

Urmila, yang mempunyai seorang anak perempuan berusia 3 tahun, Shalini, memilih untuk tidak bertemu dengan bayi-bayinya itu ketika mereka masih hidup. Suaminya berkata: “Saya ke Delhi minggu lepas dan membawa pulang jenazah kembar ke rumah pada 2 April 2014. Isteri saya masih mencuba untuk menghadapi kehilangan ini. Dia tidak dapat memegang, memeluk dan membelai mereka ketika mereka masih hidup. Dia telah menerima nasib yang ditakdirkan tetapi sebagai seorang ibu, ia masih terlalu sukar untuk menerima kematian mereka. Dia sangat beremosi dan sering menangis. Dia sangat mahukan kembarnya itu hidup tetapi sekarang setelah mereka pergi dia rasa sangat kehilangan.”


“Ianya sangat memedihkan bagi kami suami isteri untuk melihat mereka bertarung nyawa. Sekarang saya rasa mereka telah bebas. Saya sendiri mengkebumikan mereka, menurut amalan Hindu, tetapi isteri saya tidak dapat menghadapinya,” ujarnya lagi sebelum menambah: “Kami tidak mungkin dapat melupakan bayi kami ini, mereka akan kekal dalam hati kami. Tetapi kami berharap anak kami yang seterusnya nanti akan lahir secara normal. Saya akan pastikan isteri mendapat bantuan kesihatan yang sepatutnya sepanjang kehamilan jika isteri saya hamil lagi supaya kami lebih bersedia kelak.”

Dr Shika menambah: “Walaupun kami mengesyaki kembar ini tidak akan hidup lama disebabkan komplikasi kesihatan, kami masih juga berharap supaya kami dapat menyelamatkan mereka. Saya terkejut mereka dapat bertahan lebih dari 24 jam apatah lagi 20 hari. Saya harap ibubapanya tabah menghadapi kesedihan ini.”



 
Copyright © 2014 ISU SEMASA - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info