QALQILIYA (Tebing Barat): Seorang penulis blog misteri yang mencetuskan kemarahan dunia Arab apabila mengaku Tuhan dan menghina Nabi Muhammad ( SAW) kini berada di penjara. Dia ditahan pihak berkuasa Palestin yang menjejaknya melalui laman Facebook.
Penduduk Qalqiliya berkata, mereka tidak menyangka Walid Husayin, 26, anak seorang ulama, menjalani dua kehidupan berbeza.
Dikenali sebagai pemuda yang pendiam, sering bersolat bersama keluarganya dan bekerja di kedai gunting rambut bapanya pada waktu petang, Walid secara rahsia menghantar artikel menghina Islam di Internet pada masa lapang.
Walid kini berdepan dengan hukuman penjara seumur hidup atas dakwaan sesat dan menghina Tuhan. Kebanyakan penduduk Qalqiliya berpendapat Walid patut dibunuh kerana murtad. Malah, keluarganya juga berpendapat dia sepatutnya dipenjara seumur hidup.
“Dia patut dibakar hingga mati dan hukuman itu mesti dilakukan secara terbuka sebagai pengajaran kepada orang ramai,” kata Abdul Latif Dahoud.
Walid disyaki menghantar artikel memuji kepercayaan ateisme di laman blog berbahasa Inggeris dan Arab sejak beberapa tahun lalu. Dia mendakwa Tuhan bagi umat Islam mempunyai sifat seperti kaum Badwi yang menjalani kehidupan primitif. Dia mengatakan Islam adalah kepercayaan membuta-tuli yang berkembang dan mempengaruhi fikiran manusia secara tidak rasional dan jahil.
Tidak cukup dengan itu, Walid turut mempunyai tiga kumpulan laman Facebook di mana dia mengaku dirinya Tuhan. Dia turut mengarahkan pengikutnya, antara lain, menghisap dadah. Laman blog berbahasa Arab Walid dikunjungi 70,000 pelawat dengan sebahagian besarnya dari negara Arab.
Laman Faceboooknya juga menarik ratusan ulasan yang antara lain mengancam untuk membunuhnya.
Sumber