SELAMATKAN DIRI ANDA, JAUHI ‘CYCLE OF ABUSE ’

 

“Jika anda didera secara seksual, sebenarnya anda punya pilihan untuk menyelamatkan diri. Pertama, dapatkan bantuan ataupun sokongan daripada orang yang dipercayai seperti ahli keluarga ataupun teman baik. Yang kedua, anda boleh mendapatkan bantuan di hospital dengan mengunjungi One Stop Crisis Centre (OSCC). Mungkin ramai yang tidak tahu akan kewujudan OSCC ini. Dengan adanya OSCC, anda tidak perlu berasa malu untuk pergi ke hospital kerana

Bimbang ada orang yang mengenali anda. Percayalah! Di OSCC, pihak hospital mengambil pendekatan yang sewajarnya dengan menyediakan sebuah bilik khas agar mangsa boleh duduk setempat tanpa perlu bergerak ke bilik-bilik rawatan yang lain untuk bertemu doktor. Sebaliknya doktor yang terlibat dalam kes ini akan berjumpa dan merawat mangsa. Malah, pihak hospital juga membantu mangsa membuat laporan polis.” “Sekiranya mangsa yang datang itu disebabkan oleh kes rogol, dia akan diberi rawatan segera untuk menghindari kehamilan di samping menjalani saringan HIV lalu menerima rawatan sewajarnya. Untuk mangsa keganasan rumahtangga pula, dia juga tidak terkecuali daripada menjalani pemeriksaan perubatan. Ini kerana segala laporan perlu didokumenkan lebih-lebih jika kes ini dibawa ke mahkamah (sekiranya si isteri bercadang mahu berpisah dengan suaminya).

Mangsa juga dirujuk kepada pakar psikiatri, kaunselor, pegawai perubatan social untuk membantu mengembalikan semangatnya dalam meneruskan kehidupan.” “Dalam kebanyakan kes dera, mangsa sedar apa yang berlaku. Ini disebabkan dua faktor: 

(1) Cycle of Abuse (Kitaran Penderaan) – Ini fenomena yang biasa dilihat. Selepas didera, suami menghadiahkan isteri dengan sejambak bunga ataupun hadiah-hadiah yang bisa menggembirakan hati isteri. Suami bersikap romantik semata-mata untuk mengaburi kesalahan yang dilakukan. 

(2) Learned Helplessness (Tidak Berdaya) – Berlaku apabila suami dengan sengaja menggunakan kata-kata untuk merendah-rendahkan isteri. Sehingga akhirnya isteri rasa ‘down’, sudah tidak boleh rasa apa-apa lagi dan mengambil keputusan bahawa tiada jalan keluar daripada masalah yang dihadapi. Individu yang selalu kena dera akan berasa pasrah dengan apa yang berlaku. Manakala penderaan yang berpanjangan membuatkan mangsa berasa sangat lemah dan tidak berupaya untuk keluar daripada situasi yang mengerunkan itu.”

Emosi Penting Untuk
Ke sejahteraan hidup “Selepas bertahun-tahun didera sama ada fizikal, emosi ataupun seksual, barulah kebanyakan mangsa akhirnya datang berjumpa pakar psikiatri. Kami akan menghulurkan bantuan kepada mangsa dengan memberi sokongan emosi supaya hilang rasa bersalah yang terpendam dalam jiwa mereka akibat terperangkap terlalu lama dalam adegan keganasan rumahtangga. Sekali gus dapat empower mereka dengan membekalkan ilmu pengetahuan dan panduan untuk mengatasi masalah keganasan seksual. 

Kami turut membantu mereka membuat keputusan sama ada meneruskan perkahwinan ataupun tidak. Pun begitu, keputusan mutlak masih berpihak di tangan mereka. Selain itu, bantuan daripada segi keselamatan dan psikologi juga dihulurkan kerana ada mangsa yang sudah berpisah dengan suami, namun masih diburu dan diugut oleh bekas suami dengan pelbagai tindakan yang menakutkan. Tempoh ini adalah waktu paling kritikal bagi kami untuk meyakinkan mangsa bahawa kehidupan mereka akan kembali normal, cuma perlu mengambil sedikit masa.”

“Jika tidak dibantu dan dibiarkan berterusan, mangsa akan mengalami trauma yang dahsyat. Trauma yang teruk boleh jadi penyakit yang mana mangsa akan sentiasa terbayang-bayang keganasan seksual yang pernah dilakukan ke atas dirinya, kerap mengalami mimpi ngeri dan mudah terkejut. Jikalau mengalami trauma yang sebegini, ia sukar untuk sembuh dengan sendiri sebaliknya memerlukan rawatan daripada pakar. Malah, mereka juga disaran mengambil ubat. Nasihat saya, adalah lebih baik jika mereka mempelajari teknik relaksisasi seperti mengawal pernafasan agar emosi lebih stabil dan memperoleh ketenangan.”

Strategi Pencegahan

“Pada peringkat awal, mangsa keganasan seksual perlu ada kesedaran tentang hubungan yang normal dalam rumahtangga. Hubungan intim yang harmoni tidak perlu diselitkan dengan adengan keganasan. Jika ia berlaku, anda perlu mencari punca mengapa keganasan itu dilakukan oleh suami? Misalnya, mungkin suami anda jenis yang panas baran ataupun menghisap dadah. Apabila punca dikenal pasti maka cara untuk menyelesaikannya akan jadi lebih mudah. Sebagai langkah pertama, cuba atasi masalah ini sendiri.

Sekiranya masalah masih tidak dapat dikendalikan maka mintalah bantuan segera sama ada berjumpa kaunselor ataupun ke jabatan agama dan hospital.” “Ingat ya! Keganasan seksual bukanlah sesuatu yang normal. Ketika hubungan dengan suami tengah okey, bawalah berbincang dengannya. Ya, saya tahu kebanyakan mangsa tidak mahu berbincang dengan pasangan ketika itu kerana bimbang berlakunya pertengkaran. Namun perlu diingat bahawa setiap masalah termasuk keganasan seksual ada jalan penyelesaiannya. 

Ada bantuan yang boleh dipinta dan ada jalan keluar untuk menghindari diri daripada menjadi mangsa dera termasuk keganasan seksual. Jangan biarkan diri terus-terusan terperangkap. Kerana kesannya sangat besar, bukan sahaja kepada diri sendiri, sebaliknya melibatkan anak-anak dan masyarakat. Jadi, fikir-fikirkan jalan terbaik agar keharmonian rumahtangga dapat dinikmati hingga ke akhir hayat,” ujar Dr. Umi Adzlin sambil mengakhiri perbualan.  ~ Sumber



0 Komen untuk " SELAMATKAN DIRI ANDA, JAUHI ‘CYCLE OF ABUSE ’"

 
Copyright © 2014 ISU SEMASA - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info