MH17: Hasil Risikan Perkhidmatan Perisikan



Perkhidmatan Perisikan Ukraine menyiarkan satu klip audio kelmarin yang didakwa membayangkan sistem peluru berpandu Buk dari Rusia tiba di kawasan yang dikuasai kumpulan pemisah pro-Rusia, lapor akhbar New York Daily News kelmarin.

Rakaman tersebut dibuat sekitar pukul 1 pagi Khamis lalu.

Ia memaparkan perbualan seorang pegawai Rusia dengan militan pemisah Ukraine yang membincangkan penghantaran sistem peluru berpandu itu.

Akhbar Daily Mail turut menyiarkan gambar sistem pertahanan peluru berpandu Buk itu ditempatkan di bandar Torez, beberapa jam sebelum pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) ditembak jatuh pada Khamis lalu.

Dalam pada itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mengancam untuk melaksanakan sekatan ekonomi lebih ketat ke atas Rusia.

Perkembangan itu berlaku ketika pasukan penyiasat antarabangsa berusaha untuk mengenal pasti dalang di sebalik serangan yang telah meragut semua 298 nyawa penumpang dan kru penerbangan MH17.

Lokasi pesawat itu terhempas itu terletak di Grabovo dalam wilayah Donetsk.

Terdahulu, satu perbualan yang dipintas agensi perisikan Ukraine mendapati satu sistem peluru berpandu Rusia diseludup masuk melintasi sempadan ke Ukraine beberapa jam sebelum Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan 80 mangsa yang terkorban itu adalah kanak-kanak.

Tragedi MH17 itu mendorong ramai pemimpin dunia untuk mendesak satu gencatan senjata serta-merta diadakan di timur Ukraine manakala Obama pula mengutuk keras pembunuhan penumpang dan kru yang tidak berdosa dalam serangan itu.

Walau bagaimanapun Obama tidak menyalahkan Rusia berhubung tragedi MH17,

Duta AS ke PBB, Samantha Power mendedahkan, kumpulan pemisah Ukraine yang disokong Rusia telah beberapa kali menembak pesawat di rantau berkenaan.

Power menyenaraikan sebuah pesawat pengangkut telah ditembak jatuh pada 13 Jun lalu diikuti sebuah helikopter 11 hari kemudian manakala sebuah lagi pesawat kargo ditembak oleh kumpulan pemisah Ukraine pada Isnin lepas.

Militan-militan pemisah turut menbedil sebuah jet sebelum tragedi Penerbangan MH17 ditembak jatuh Khamis lalu.

Pendedahan itu membayangkan bahawa pentadbiran AS cuba mengaitkan Rusia dengan tragedi tersebut manakala Obama turut mengesahkan bahawa pemberontak di Ukraine adalah lengkap bersenjata dan terlatih.

Dalam perkembangan berkaitan, masih tiada pengesahan berhubung penemuan kotak hitam pesawat Boeing 777-200 itu ketika pegawai-pegawai dari seluruh dunia menuntut mereka dibenarkan memasuki lokasi nahas MH17 seluas 14.4 kilometer itu.

Beberapa bendera putih buatan sendiri dipacak di lokasi tersebut untuk menandakan tempat mayat-mayat jatuh pada ketinggian 10,000 meter dari ruang udara pada hari sebelumnya.

"Terdapat bunyi deruan dan barang-barang di sekeliling saya bergegar," kata seorang penduduk tempatan berusia 65 tahun, Irina Tipunova.

"Selepas itu saya mendengar bunyi dentuman dan melihat mayat seorang wanita jatuh di dapur saya," tambahnya.

Beberapa lagi mangsa ditutup menggunakan beg plastik dan ditanda menggunakan batu.

Lebih 180 mayat ditemui dalam tempoh 24 jam selepas nahas itu berlaku. ~ KOSMO!



0 Komen untuk "MH17: Hasil Risikan Perkhidmatan Perisikan"

 
Copyright © 2014 ISU SEMASA - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info