MINGGU ini, nama pelakon Tasha Shila, tiba-tiba menjadi buah mulut ramai.
Tidak, bukan lagi soal dia bercinta dengan lelaki kacak, baik Mahali Jasuli atau lelaki terbaru dalam hidupnya, seorang peninju Muay Thai yang dikenali dengan panggilan Hans.
Kali ini, wanita berusia 27 tahun ini terhimpit dengan kontroversi baru apabila ramai yang memperkatakan mengenai perubahan bentuk badannya.
Satu, di bahagian hidung yang dikatakan sedikit mancung berbanding hidung asalnya sebelum ini. Kedua dan yang paling ketara, perubahan yang dapat dilihat pada payudaranya.
Mungkin ada yang tersalah tengok buat kali pertama, namun kalau terpandang buat kali kedua, kata hati pasti terdetik dan bersetuju bahawa ada perubahan ketara pada payudara Tasha Shila, kelihatan jauh lebih besar dan mekar berbanding sebelum ini.
Tambahan pula Tasha memuat naik sekeping gambar yang memaparkan baju T ketat sambil meminum minuman kesihatan jenama tempatan. Tasha mendakwa minuman itulah yang mengubah payudaranya.
Bagaimanapun ramai pengkaji, pengkritik dan pemberi komen tidak bertauliah yang muncul dengan teori bahawa minuman kesihatan itu hanya alasan tetapi bukan faktornya.
Dia didakwa pernah berulang alik ke Bangkok, Thailand termasuk ke Bali, Indonesia sebelum ini, pelakon drama bersiri Terukir Di Bintang ini dikatakan punya agenda untuk membuat pembedahan plastik pada bahagian-bahagian tertentu di badannya.
Memandangkan isu sudah berbangkit, maka ramai yang menganggap memang benarlah Tasha ke sana untuk membuat pembedahan plastik merubah bentuk asal payudaranya.
Dinafikan
Bagaimanapun Tasha bermati-matian menafikan dan menganggap membuat pembedahan plastik pada payudara satu perkara yang mengarut.
"Saya hairan juga macam mana mereka boleh katakan yang saya pergi ke negara orang untuk buat pembedahan plastik? Saya pergi bercuti dan saya pergi dengan kawan-kawan saya. Pergi Bali untuk buat pembedahan plastik? Bukan situ tempatnya ya," katanya.
Menganggap isu ini sengaja ditimbulkan oleh pihak tertentu, kata Tasha, dia bagaimanapun mengaku ada berbuat sesuatu demi mendapatkan bentuk badan idamannya.
"Tiada pembedahan plastik. Saya cuma mengamalkan minuman kesihatan untuk kecantikan dan kesihatan. Hampir dua bulan saya dah amalkan minuman itu setiap hari dan itukah hasilnya. Tak mungkinlah saya nak pergi buat pembedahan plastik. Saya masih waras. Kalau ada yang perasan ada perubahan pada diri saya, maknanya produk itu berkesanlah," katanya tegas.
Maknanya penemuan dalam minuman itu telah mengatasi pembedahan payudara yang menelan belanja ribuan ringgit. Tasha menemui cara mudah yang mungkin artis Hollywood pun tidak tahu bahawa hanya dengan meminum minuman kesihatan saiz payudara akan berubah mendadak, lebih kurang dua bulan sahaja.
Sedar bahawa akan ada banyak pihak yang tidak akan berpuas hati dengan kenyataannya , kata Tasha dia juga tidak mampu mengubah persepsi mereka terhadap dirinya.
"Kalau ikutkan saya pun tak tahu nak komen apa, nak cakap macam mana sebab mereka akan sentiasa anggap yang saya tak cakap jujur. Saya dah bentangkan penjelasan dan itulah dia. Kalau tak percaya juga saya nak buat macam mana lagi? katanya.
Ditanya mengenai dirinya yang sengaja mahu timbulkan isu dengan memuat naik gambar berkenaan sehingga dituduh sengaja mencari publisiti selepas agak senyap kebelakangan ini, kata Tasha dia tidak punya agenda seperti yang didakwa.
"Mana ada, saya muat naik gambar itu tetapi tujuannya untuk berkongsi kebaikan dan keberkesanan produk itu.
"Sekali lagi saya tegaskan, saya tak buat pembedahan plastik," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia