Syarikat gergasi seperti Google sering dilihat cuba mengeluarkan kenderaan pandu sendiri sejak kebelakangan ini, akan tetapi sebuah syarikat robotik dari Perancis nampaknya adalah yang pertama berjaya mengeluarkan sebuah kenderaan pintar elektrik yang berkebolehan memandu dengan sendiri.
Kenderaan Navia Shuttle yang mana boleh memuatkan 8 orang penumpang dilancarkan untuk pasaran Amerika Syarikat pada pameran Antarabangsa CES 2014 baru-baru ini. Kenderaan tanpa pemandu ini adalah yang pertama berjaya dikeluarkan untuk pasaran komersil.
Navia Shuttle dijangka boleh beroperasi di tempat-tempat awam seperti di lapangan terbang, kampus kolej, taman tema atau arena sukan yang mana mampu mengurangkan pencemaran dan kesesakan. Kenderaan ini dijual pada harga $250,000. Sungguhpun pada harga yang agak mahal ianya 40% lebih murah berbanding jenis yang sama dengan pemandu.
Navia Shuttle adalah sangat praktikal, pengguna boleh memanggil kenderaan tersebut dari telefon pintar mereka atau dari mana-mana komputer yang tersedia. Selepas menaiki kenderaan ini, penumpang boleh menggunakan skrin sesentuh untuk memilih ke mana lokasi yang ingin dituju.
Apa yang membuatkan kenderaan ini pintar ialah ianya tidak memerlukan infrastruktur khas seperti landasan atau laluan khas. Ianya mampu beroperasi di mana-mana sahaja.
Navia Shuttle ini, yang mana tidak boleh dipandu melebihi 12.5 batu sejam, menggunakan panduan laser dan pengesan untuk menentukan halangan di laluannya. Ianya juga menggunakan kamera berbagai sudut untuk menghasilkan ketepatan dan persepsi 3D bagi memastikan laluan yang digunakan bebas dari pejalan kaki atau apa-apa objek halangan.
Versi beta kenderaan ini sekarang sedang diuji di sebuah kolej teknikal di Switzerland dan di sebuah kawasan industri milik pihak berkuasa United Kingdom Atomic.