Hisyam Hamid rancang pindah ke Malaysia


Selepas mencipta nama di Malaysia menerusi drama bersiri "Ariana Rose", aktor asal Singapura, Hisyam Hamid merancang untuk berpindah ke Malaysia bagi memudahkannya mengurus karier seni.

Namun jelasnya, dia perlu berbincang secara terperinci dengan isterinya, Rosmawati Hanafi sebelum membuat sebarang keputusan lebih-lebih lagi hal persekolahan dua cahaya matanya, Nurish Syameliah, 7, dan Hayden, 5.

"Bukan sahaja perlu berbincang malah saya juga perlu membuat persiapan sebaik-baiknya. Memang saya sudah mula melakukan persiapan sedikit demi sedikit.

"Paling utama saya perlu lakukan persiapan untuk membawa kedua-dua anak saya ke sini. Faktor penempatan dan persekolahan perlu saya pastikan terlebih dahulu agar tiada masalah yang berlaku selepas ini," ujarnya seperti dipetik daripada laporan Utusan Malaysia.

                                        Hisyam Hamid bersama isteri tercinta, Rosmawati Hanafi
                                        dan dua cahaya mata mereka, Nurish Syameliah dan Hayden.


Oleh kerana keluarga masih menetap di Singapura, Hisyam memberitahu dia sering berulang-alik dan disebabkan itu, dia merancang untuk membawa mereka berpindah ke Malaysia agar sentiasa dapat bersama.

Mengakui industri seni di Malaysia lebih meriah dibandingkan dengan Singapura, Hisyam bersyukur dengan peluang yang diberikan dan berterima kasih dengan sokongan peminat.

"Peluang yang ada pada saya sekarang akan saya gunakan sebaik mungkin. Ini kerana jika tidak direbut takut nanti mungkin tidak akan ada lagi peluang kedua."

Hisyam menyambut Syawal kali ini di Singapura, tetapi ke Thailand pada Hari Raya keempat untuk penggambaran sebuah telefilem.
0 Komen untuk "Hisyam Hamid rancang pindah ke Malaysia"

 
Copyright © 2014 ISU SEMASA - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info