Adakah anda ataupun pasangan anda sering mengalami dengkuran ketika tidur pada waktu malam? Keadaan tersebut menyebabkan waktu tidur terganggu akibat selalu terjaga secara mengejut dan kadang-kadang mengalami sesak nafas.
Tambahan, situasi tersebut bukan sahaja memberi kesan kepada anda, malahan ahli keluarga terdekat juga turut terganggu dengan bunyi dengkuran tersebut kerana bunyinya yang kuat dan adakalanya membingitkan telinga yang mendengar. Lantaran itu, kesan tidur yang terganggu pada malam hari menyebabkan sebahagian rutin harian anda di siang hari terjejas akibat rasa mengantuk yang tidak dapat dikawal, malahan paling bahaya sekiranya anda tertidur semasa memandu. Jika anda sedang mengalami situasi seperti di atas kemungkinan anda mengalami Obstructive Sleep Apne (OSA).
Berdasarkan kajian, sebanyak 80 peratus individu yang menghidap masalah ini tidak mengetahui mereka mempunyai penyakit tersebut dan menyebabkan tiada sebarang tindakan dilakukan untuk merawatnya.
Menurut Profesor Perubatan dari Fakulti Perubatan, Universiti Colorado Denver, Amerika Syarikat, Dr. Teofilo L.Lee-Chiong Jr., OSA berlaku apabila laluan udara dari hidung dan mulut ke bahagian paru-paru tersekat . Ia merupakan gangguan tidur biasa yang dialami oleh individu menyebabkan pernafasan mereka terhenti seketika ketika sedang tidur beberapa saat.
Dianggarkan di Malaysia, sebanyak tiga juta orang mungkin menghidap masalah dengkuran tetapi kebanyakan mereka tidak menyedari masalah ini.Walaupun dianggap perkara lumrah terutama dalam kalangan lelaki dengan purata seorang daripada enam orang menghidapnya, tetapi masalah itu tidak seharusnya dipandang ringan oleh wanita kerana mereka juga terdedah dengan perkara ini.
Dianggarkan seorang daripada sepuluh orang wanita menghadapi masalah ini dan kebanyakan daripada mereka berada dalam lingkungan umur pertengahan. Jika berlarutan tanpa mendapatkan rawatan yang selanjutnya mereka terdedah kepada penyakit yang lebih berbahaya seperti tekanan, sakit jantung, strok, kegagalan fungsi jantung dan kemurungan," katanya
Dr. Chiong Jr. menambah, individu yang mempunyai sejarah keluarga menghidap OSA sama ada ibu atau ayah lebih berisiko mempunyai penyakit ini apabila mereka mencapai usia pertengahan. Individu tersebut apabila lebih berusia risiko mendapat OSA lebih tinggi juga sekiranya mempunyai sejarah keluarga yang menghidap OSA, mempunyai masalah berat badan berlebihan dan mengambil alkohol.
Mereka yang mempunyai masalah tisu berlebihan di anak tengkak dan kesan pengambilan ubat yang membuatkan seseorang tertidur dan mengalami darah tinggi juga perlu lebih berhati-hati. Individu yang muda dan sihat tidak bermakna selamat dan tidak terdedah dengan OSA kerana penyakit ini menyerang secara senyap.
Dr. Chiong Jr, turut menyarankan individu yang mempunyai simptom seperti berdengkur dengan ritma yang kuat, sakit kepala terutama waktu pagi, berasa tidak selesa kerana tidak dapat memberikan tumpuan kepada kerja dan mengalami gangguan dan tekanan perasaan digalakkan berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan segera.
Antara rawatan yang berkesan membantu individu mengurangkan masalah dengkuran adalah melalui rawatan Continouse Positive Airway Pressure (CPAP) dan juga melakukan pembedahan dengan doktor yang selayaknya.
Dr. Chiong Jr. juga menerangkan, kualiti tidur setiap hari sangat penting bagi seseorang individu kerana waktu tidur yang baik akan memudahkan rutin harian di siang hari. Tidur yang baik akan mempengaruhi kesan kepada kesihatan seseorang dalam jangka masa panjang termasuk dalam aspek pertumbuhan sel badan, metabolisme, keseimbangan tenaga dalam badan, fungsi sistem imun dan juga proses perkembangan serta pembelajaran minda.
Malangnya, sebahagian masyarakat Malaysia tidak menghargai waktu tidur mereka di malam hari. Sebaliknya masa emas itu mereka lebih gemar gunakannya dengan melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah seperti menonton televisyen sehingga lewat malam, melayari internet dan berjumpa dengan rakan-rakan untuk berkongsi cerita.
Kajian yang dilakukan juga menunjukkan sejak 40 tahun lalu masyarakat di dunia telah mengalami perubahan dari segi waktu tidur yang semakin berkurangan dari satu hingga dua jam. Daripada jumlah tersebut juga sebanyak satu pertiga daripada orang dewasa mempunyai waktu tidur yang tidak baik iaitu kurang daripada enam hingga tujuh jam," katanya.
Tambahnya, individu yang dikesan kurang waktu tidur dan dalam masa yang sama mempunyai masalah OSA berhadapan dengan impak yang bahaya kepada diri dan masyarakat.
Jelas Dr. Chiong Jr, kesan gangguan tidur yang jika tidak mendapatkan rawatan pada peringkat awal akan menyebabkan berlaku insiden yang membahayakan keselamatan diri dan menyebabkan antaranya meningkatkan 10 peratus kemalangan melibatkan motosikal, lebih 50 peratus terlibat dengan kemalangan di tempat kerja, dan 20 peratus juruterbang melakukan kesalahan serius melibatkan pesawat kerana tertidur.
Mereka yang mengalami gangguan tidur ini juga adalah dalam kalangan pekerja yang bekerja secara shif, gemar menonton television sehingga lewat malam, kesan pengambilan ubat-ubatan dan masalah ketagihan ubatan.