#MH370: Iktibar dan pengajaran disebalik kehilangannya

PERJALANAN menaiki pesawat MAS dari Kuantan ke KLIA pada 17 Mac 2014, jam 7.45 malam, begitu menarik. Anak kapal (pilot) membaca doa menaiki kenderaan. Diikuti apabila mendarat disebut Alhamdulillah. Sejuk hati.


Selepas transit sebentar untuk ke Kota Bharu, saya ingatkan anak kapal akan melakukan perkara sama, rupanya tidak. Paling kurang menyebut Bismillah, dan Alhamdulillah.

Sepatutnya semua ini dijadikan prosedur dan panduan, tonjolkan kepada pelancong, inilah Malaysia, yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan.

Hari ini, boleh dikatakan semua penumpang ‘sengsara’ menaiki pesawat. Segala-gala akan diperiksa, luar dan dalam. Barang yang dibawa kena scan dua kali sebelum ‘check in’ dan selepas.

Apa nak buat keselamatan lebih penting dari segalanya.

Apa pun hati berasa lega berada dalam pesawat MAS dapat mendengar kalimah-kalimah yang dikaitkan dengan ALLAH, walaupun tidak semua melakukannya. Pesawat tambang murah lain, sekelumit kalimah ALLAH langsung tidak kedengaran.

Saya bukanlah orang teknikal untuk memberikan komen terhadap kehilangan MH370. Meskipun begitu, beberapa perkara perlu diambil perhatian.

Pertama, lakukan pemeriksaan ketat seperti yang dilakukan kini. Tidak mengapa, saya rela menanggalkan dan membuka apa yang diminta seperti jam tangan, tali pinggang dan apa jua peralatan telekomunikasi. Rabalah sepuas-puasnya demi maruah dan keselamatan tanah air tercinta.

Jika kita berada di luar negara, mereka akan melakukan perkara sama, malah lebih teruk daripada itu sehingga menggunakan anjing.

Kedua, semua anak kapal (Islam), terutama pilot, mesti ditanamkan dengan jiwanya dengan roh Islam. Mengutamakan jati diri agama, bangsa dan negara. Mereka tidak boleh hanyut dengan segala keseronokan dalam kapal.

Ketiga, elakkan menjamu makanan dan perkara haram dalam pesawat. Mereka meminta arak itu, adalah kalangan mereka yang biasa minum arak. Cuba alihkan mereka dengan makan tempatan yang lebih berkhasiat seperti cendol dan sebagainya.

Keempat, biasakan anak-anak kapal mengingati ALLAH (Tuhan kepada bukan Islam). Sebutlah kalimah bismillah, Alhamdulillah, salam dan lain-lain. Perkara ini nampak kecil, tapi impaknya besar.

Kelima, tutuplah aurat pramugari jika mereka berkehendakkan. Lagipun untuk mengelakkan rambut jatuh ke dalam makanan. Tidak salah jika pramugari menutup aurat (Islam) dan pakaian bersopan untuk bukan Islam. Amat menjengkelkan apabila pakaian pramugari singkat dan jarang. Keenam, kita hendaklah jangan terlalu kebaratan ketika berada dalam pesawat.

Amalkan budaya-budaya negara. Utamakan bahasa Melayu. Ucapkan salam dan selamat mengikut cara kita. Belajarlah dengan anak-anak kapal pesawat Thai, Brunei dan sebagainya. Mereka sentiasa mengutamakan jati diri negara.

Ketujuh, jika ditakdirkan berlaku lagi insiden seperti MH370 pada masa depan, jangan memanggil bomoh untuk mencari. Jika Islam itu boleh diubati dengan menggunakan bomoh, sudah tentu umat Islam tidak perlu bersusah payah atau ada yang merempat hari ini. Gunakanlah bomoh untuk mengatasi segala-galanya.

Nabi Muhammad adalah raja segala bomoh dan mempunyai mukjizat. Kenapa dan mengapa Rasulullah tidak menggunakan mukjizat yang ada untuk membomohkan semua bukan Islam supaya tunduk dan menurut kata-kata Baginda? Atau dengan bahasa mudah membomohkan mereka supaya segera memeluk agama Islam dan tidak perlu bersusah diuji dan dicuba?

Jika bomoh kita terlalu mujarab, kita bomohkan air yang disalurkan kepada Singapura.

Apabila diminum, merekapun akan tunduk kepada kita dan menyerah diri untuk bersunat, serta membeli air kita dengan kadar harga semasa, bukan membeli dengan harga 0.03 sen per 1,000 gelen?

Kepada pembuat keputusan dan pembesar negara, gunakan kuasa mencari keredaan ALLAH selagi ada kuasa. Hak ini dijamin perlembagaan. Kita bimbang, apabila tidak ada kuasa nanti, baharu nak menyesal. Jangan leka ketika berkuasa, hanya bertaubat setelah pencen. Buruk rasanya.
0 Komen untuk "#MH370: Iktibar dan pengajaran disebalik kehilangannya"

 
Copyright © 2014 ISU SEMASA - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info