Bunuh Model Sebab Suami Renung Gambarnya Tanpa Pakaian


Seorang suri rumah begitu berang dengan sikap suaminya yang asyik membuang masa merenung gambar wanita separuh bogel di akhbar hingga dia mengancam membunuh seorang model.

Dalam beberapa suratnya, wanita berusia 51 tahun itu memberi amaran kepada akhbar Switzerland, Blick, supaya berhenti menyiarkan gambar perempuan dengan payu dara terkeluar.

Wanita berkenaan yang namanya tidak disiarkan, menyasarkan kebenciannya pada Gadis Tahun 2012, Jil.

Dia mendakwa sudah mengupah seorang pembunuh untuk membunuh model itu.

Wanita itu marah selepas suaminya turut mengundi model itu dalam satu pertandingan yang dianjurkan akhbar berkenaan.

Kemarahannya bertambah apabila menyedari suaminya keluar setiap pagi untuk membeli akhbar dan menghabiskan berjam-jam merenung gambar model separuh bogel.

Mahkamah di sini semalam diberitahu bagaimana wanita itu memulakan serangan terhadap pengarang, wartawan, pengiklan dan model akhbar itu selama dua tahun.

Dalam sepucuk surat kepada pengarang Blick, dia menulis:

“Saya tidak mahu lagi melihat payu dara dalam akhbar anda.
“Jika anda meneruskannya juga, anda akan menemui model anda dengan leher terkelar dalam tong sampah.”

Pada Oktober 2012, sejurus selepas Jil diundi sebagai model paling popular tahun itu, dia menerima surat berbunyi: “Jil, sedarlah anda perempuan tidak berguna.”

Dalam satu lagi surat, wanita itu menulis:

“Sekiranya anda muncul separuh bogel sekali lagi, kami akan bunuh anda. Kami tahu rutin seharian anda.”

Dia mengaku di depan hakim mengenai tindakannya itu dan meminta maaf.

Bagaimanapun mahkamah mendapatinya bersalah atas tuduhan mengancam, menghina dan memalsukan dokumen.

Dia didenda sebanyak RM25,220 atau penjara 120 hari tetapi masih berpeluang merayu hukuman lebih ringan. – Agensi
0 Komen untuk "Bunuh Model Sebab Suami Renung Gambarnya Tanpa Pakaian"

 
Copyright © 2014 ISU SEMASA - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info