Artikel Tun Dr Mahathir Mohamad Disekat



KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menarik semula jaminan yang dibuat pada zamannya menjadi Perdana Menteri untuk tidak menapis kandungan internet di negara ini.

Menerusi posting terbaru di dalam blognya, Dr Mahathir mengakui menjadi mangsa penapisan selepas beberapa pelayan internet menggunakan tafsiran tapisan mengikut acuan masing-masing.

"Apabila saya menulis rencana mengenai orang-orang Yahudi, tanpa apa-apa penjelasan, artikel saya telah disekat daripada disiarkan di dalam laman Facebook.

"Itu bukanlah kali pertama berlaku. Sebelum ini, laman blog saya yang menggunakan platform pelayan antarabangsa pernah disekat selepas mendapat ribuan pengunjung," katanya.

Tambah Dr Mahathir, pertukaran pelayan kali kedua dan ketiga turut disekat selain pelbagai virus dan spam yang dihantar untuk merosakkan blognya.

"Sudah tentu penyekatan adalah satu bentuk tapisan. Internet bukanlah alternatif bebas kepada media elektronik dan cetak seperti yang diketahui selama ini.

"Ia tertakluk kepada tahap tapisan kerajaan yang berbeza dengan tahap platform laman sosial yang ada," ujarnya.

Tegasnya, tiada kebebasan di dalam media alternatif kerana kerajaan atau pemilik pelayan media sosial boleh menyekat maklumat sekali gus dilihat kurang kebebasaan berbanding media yang dilesenkan kerajaan.

"Saya rasa sudah tiba masanya kita berhenti bercakap mengenai kebebasan akhbar. Mari kita mengakui bahawa media perlu ditapis.

"Ia perlu ditapis kerana apa-apa jenis kebebasan akan sentiasa membuka ruang untuk penyalahgunaan termasuk paling teruk dalam isu moral," jelasnya.

Jelas Dr. Mahathir, internet memainkan peranan utama dalam melemahkan moral awam.

"Anak-anak kita tidak selamat dari isu moraliti yang dipromosi media cetak dan elektronik.

"Kanak-kanak kini bebas mengakses pornografi dan tidak lagi selamat daripada serangan seksual," katanya.

Tambah Dr. Matahhir, gaya hidup lesbian, gay, biseksual dan transgender atau LGBT kini dikatakan sebahagian hak asasi manusia.

Pada 16 Mac 1999, Perdana Menteri pada ketika itu, Dr. Mahathir mengarahkan kabinet supaya membatalkan sebarang usaha bagi membentuk penapisan Internet.

Ketegasan Dr. Mahathir bahawa tidak ada negara yang membenarkan sesuatu kebebasan itu diberikan secara mutlak sehingga membolehkan mana-mana pihak menyatakan apa sahaja yang mereka suka adalah benar walaupun Malaysia pernah mengambil langkah yang positif untuk tidak menapis dunia siber.

Ini termaktub dalam rang undang-undang jaminan yang dijanjikan oleh kerajaan Malaysia dengan syarikat-syarikat Koridor Raya Multimedia (MSC).

Dalam pada itu, Seksyen 3(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 juga mengisytiharkan bahawa tiada suatu pun peruntukan di bawah akta tersebut yang membenarkan sebarang penapisan maklumat berlaku. ~ Sumber


0 Komen untuk "Artikel Tun Dr Mahathir Mohamad Disekat"

 
Copyright © 2014 ISU SEMASA - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info