Hukuman Menanti Penyebar Khabar Angin


Mereka yang terbabit dalam penyebaran khabar angin dan spekulasi sehingga menjejas keamanan dan ketenteraman awam akan dikenakan tindakan sewajarnya, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin.

Beliau berkata polis akan menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada bagi mendakwa mereka yang menimbulkan rasa bimbang dan tidak selamat dalam kalangan masyarakat.

"Apabila timbul sesuatu spekulasi terutamanya berkaitan jenayah, kita akan melihat tindakan-tindakan yang boleh diambil seperti di bawah Akta Hasutan dan sebagainya," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkata budaya menyebarkan khabar angin atau membuat spekulasi telah memberi impak negatif sehingga menjejas dan merumitkan siasatan polis terhadap sesuatu kes yang sedang disiasat.

Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang akan menyiasat kesalahan perbuatan menyebarkan maklumat tidak sahih sehingga mengganggu ketenteraman awam.

Mohd Bakri berkata, siasatan dan tindakan tegas akan diambil terhadap pihak berkenaan sekalipun ia membabitkan orang kenamaan.

"Kalau mereka melakukan perbuatan tersebut, mereka harus bertanggungjawab dengan apa yang mereka lakukan," katanya.

Di laman sosial misalnya, pelbagai spekulasi dan khabar angin dengan mudah bertebaran apabila tanpa sebarang rasa bersalah, masing-masing berlumba untuk menjadi yang pertama menekan butang 'share' tanpa mempedulikan kesahihan khabar yang dihantar.

Mohd Bakri berkata orang ramai juga tidak sepatutnya mudah terpedaya dan terpesong dengan spekulasi sama ada dari mulut ke mulut atau di alam maya serta seharusnya mengelak daripada menjadi penyampai berita tidak sahih kepada individu lain. - Bernama
0 Komen untuk "Hukuman Menanti Penyebar Khabar Angin"

 
Copyright © 2014 ISU SEMASA - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info