gambar hiasan
Siapa sangka banduan juga mampu menjadi graduan.
Pencapaian ini membuktikan Penjara Malaysia dilihat benar-benar komited dalam usaha memulihkan tahanan di penjara. Inilah konsep "Penjara Sejahtera" yang sepatutnya.
Kepada mereka yang tidak tahu, program Lanjutan Pengajian Tinggi (IPT) di penjara bermula sejak tahun 2008 lagi. Program ini yang diilhamkan Superintendent Penjara Malaysia Tuan Ranjit Singh bermula dengan penglibatan pihak Universiti Terbuka Malaysia dan Universiti Malaya sebagai penyedia program. Antara kursus-kursus yang ditawarkan termasuklah Jurusan Undang-Undang (Jurispundence), Teknologi Maklumat, Pengurusan Perniagaan dan Pengajian Islam.
Sehingga kini difahamkan terdapat lebih 15 orang penghuni penjara yang masih aktif di bawah program ini. Namun begitu saya agak tersentuh dengan jawapan salah seorang penghuni tersebut bila diajukan soalan wartawan yang bertanya samada beliau gembira atau tidak kerana dianugerahkan ijazah kepujiaan ini. Penghuni ini menjawab “lain rasanya menerima ijazah ini dari dalam penjara berbanding di luar sana”. Begitulah kata-katanya yang membuatkan saya terfikir ada logiknya. Apa gunanya punya segulung ijazah tapi tidak dapat menggunakannya.
Kerajaan khususnya pihak Kementerian Dalam Negeri, Majlis Pengampunan Negeri dan Lembaga Parol sepatutnya lebih proaktif dalam usaha membebaskan penghuni penjara yang insaf dan tidak lagi mengancam masyarakat. Penghuni-penghuni penjara khususnya mereka yang cemerlang dalam program pendidikan seharusnya diberikan merit untuk pembebasan awal ataupun perlepasan secara parol. Dengan ini satu teladan baik dapat disampaikan kepada penghuni-penghuni lain dan dalam pada masa yang sama menarik minat mereka untuk menyambung pengajian walaupun berada di sebalik tembok penjara. Usaha ini bukan sahaja memberi kelebihan kepada penghuni itu sendiri malahan kerajaan dapat mengurangkan kos pembelanjaan penghuni di penjara.
Lihat sahaja model-model pemulihan yang digunakan di penjara lain di luar negara. Penjara Thailand khususnya, pihak pengampunan negeri mereka sangat aktif dalam mencari calon-calon penghuni penjara yang difikirkan tidak lagi menjadi ancaman kepada masyarakat dan sewajarnya dibebaskan. Hampir setiap tahun beratus-ratus malahan ribuan penghuni penjara di Thailand dibebaskan samaada di bawah pengawasan parol ataupun diampunkan.
Berlainan jadinya di penjara Malaysia. Saya difahamkan di sini ada penghuni yang berbelas-belas malahan berpuluh-puluh tahun dipenjarakan. Tambah menyedihkan ada yang ditahan sejak seawal usia 12 tahun lagi. Tidak dapat dibayangkan bagaimana mereka-mereka akan menyesuaikan diri bila dibebaskan kelak.
Tidak rugi rasanya membebaskan pesalah yang insaf dan berpendidikan. Siapa sangka ada di kalangan mereka ini mempunyai kualiti dan boleh berkhidmat kepada masyarakat. Malahan kita sendiri sudah pun ada kalangan pemimpin yang pernah memegang status "banduan". Tidak perlu rasanya saya menyebut siapa, yang penting status tersebut tidak menghalang mereka berbakti kepada rakyat.
Diharap dengan pencapaian ketiga-tiga penghuni penjara ini dapat membuka mata orang ramai dan masyarakat betapa pentingnya pendidikan dalam usaha pemulihan pesalah.
Program-program sebegini sepatutnya mendapat tempat di hati aktivis-aktivis dan NGO yang terlibat dalam usaha memantapkan lagi sistem pemulihan pesalah di penjara Malaysia. Pihak institusi pendidikan pula tidak kira swasta atau kerajaan juga seharusnya menyumbang sesuatu kepada penghuni-penghuni ini. Jika bukan bantuan kewangan, tawarkan sahaja mereka dengan program-program Pengajian Jarak Jauh (PJJ) yang sedia ada. Jika ada masalah dengan kewangan kita minta bantuan dari MARA atau PTPTN.
Takkan itu pun tidak boleh tolong? Pihak KDN pula saya merayu supaya ambil peluang ini dengan menambahbaik lagi sistem keadilan jenayah di Malaysia agar keadilan dikecapi bukan sahaja pada mangsa tapi juga pesalah.
Terlanjur kata, saya ingin mengucapkan jutaan tahniah kepada penghuni yang berjaya menerima diploma dan ijazah kepujian semalam dan tidak lupa juga kepada Ranjit yang berjaya membuktikan bahawa tugas pegawai penjara bukan sahaja sekadar menjaga malahan mendidik. Kualiti yang ada pada pegawai penjara sebeginilah yang akan membuatkan visi dan misi Penjara Malaysia menjelang tahun 2020 akan tercapai. Syabas saya ucapkan! – 24 Ogos, 2014. ~ Sumber
0 Komen untuk "Tahniah! 3 Banduan Menjadi Graduan Ketika Dalam Tahanan"