Sedih dengan kejadian yang menimpa umat Islam di Palestin, aktor filem "Rock Ooo", Que Haidar sentiasa berusaha untuk mencari jalan bagi memperjuangkan nasib mereka.
"Setiap hari saya melihat apa yang berlaku kepada mereka di televisyen, surat khabar dan internet. Saya pun ada anak dan isteri. Apabila melihat anak-anak kecil dan wanita di sana dibunuh, dikejami dan mati setiap hari, ia benar-benar menyedarkan saya.
"Sebab itu saya fikir apa lagi boleh kita lakukan untuk membantu mereka," ujarnya seperti dipetik dari Sinar Harian.
Disebabkan itu Que menghubungi Maulana AF8 sekiranya mengetahui tentang mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) yang boleh membantu dan dari situ, dia telah diperkenalkan kepada Aman Palestin.
"Saya masih ingat Maulana pernah pergi ke Palestin dulu, jadi saya hubungi dia bertanya mengenai mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) yang boleh membantu.
"Alhamdulillah, dia cadangkan Aman Palestin dan telah mengaturkan satu mesyuarat mengenai perkara ini," katanya.
Suami kepada cikgu tarian Linda Jasmine memberitahu dia telah bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin, Ustaz Awang Suffian Awang Piut baru-baru ini dan mereka telah bercadang untuk membawanya ke sana.
Pemilik nama sebenar Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar ini turut menyimpan harapan agar dapat menyedarkan masyarakat untuk membantu apa yang termampu.
"Apa lagi yang boleh dibuat untuk membantu mereka? Rasanya kita cukup bertuah dapat hidup di bumi Malaysia. Bayangkan di bulan Ramadan ini, kita dapat bersahur, berbuka puasa, bertarawih dan tidur dengan cukup selesa.
"Sebaliknya mereka di sana, hendak makan pun belum tentu, inikan pula tidur yang sentiasa bertemankan serangan Israel," tambahnya lagi.
Pelakon berusia 35 tahun ini berharap dengan pengalaman yang bakal ditimbanya itu, dia dapat berkongsi dengan rakyat Malaysia agar mereka lebih terbuka membantu dari segi mental dan fizikal.
[kredit tupai.com.my]
0 Komen untuk "Punca Sebenar Que Haidar ke Palestin"