Wanita meskin dari Pulu Pinang, Buka Restoran di Ibu Pejabat Twitter


Dahulunya dia adalah seorang penjual pencuci mulut jalanan yang pernah menolak kereta sorong di Pulau Pinang dan hidup dalam kemiskinan, tetapi kini wanita asal Malaysia ini bakal membuka sebuah restoran dengan keluasan 15,000 kaki persegi di ibu pejabat Twitter yang terletak di Bay Area, San Francisco.

Kehidupan Azalina Eusope berubah selepas dia bertemu suaminya yang berasal dari Amerika Syarikat dan berpindah ke San Francisco dimana dia kini berjaya dalam perniagaannya.

Dalam satu temubualnya bersama Dark Rye, sebuah majalah dalam talian yang dioperasikan oleh Whole Foods, Azalina yang merupakan generasi kelima peniaga jalanan berketurunan mamak memberitahu ia bukanlah satu perkara yang mudah baginya membesar sebagai seorang gadis mamak kerana satu ketika dulu, golongan ini berada di bahagian bawah sistem kasta di Malaysia dan hanya dibenarkan melakukan pekerjaan-pekerjaan tertentu sahaja.

Ingin bebas daripada perkara tersebut, Azalina cuba mengejar impiannya untuk bergelar doktor tetapi tidak kesampaian apabila permohonannya untuk memasuki kolej ditolak. Namun Azalina mendengar nasihat seorang guru yang mencadangkannya pergi ke sekolah masakan.

Selepas berkahwin dan mengikut suaminya ke Amerika Syarikat, Azalina mengakui dia bergelut untuk mengatasi kejutan budaya sebaik tiba di sana.

"Saya membesar di sebuah kampung. Kami berjalan jika mahu ke mana-mana. Kami tidak mempunyai televisyen dan tidak tahu bagaimana rupa bentuk peti sejuk.

"Kali pertama saya menyentuh komputer ketika saya baru melahirkan anak lelaki saya iaitu pada tahun 2002," ujarnya.

Bagi mengatasi masalah tersebut, Azalina akan memasak makanan yang dia selalu makan ketika membesar dan hobinya bertukar menjadi satu perniagaan selepas dia meminjam AS$500 dan mula menjual makanan di pasar tani di San Francisco pada tahun 2010.

Walaupun tidak mendapat sambutan dalam tempoh enam minggu pertama, nasibnya berubah selepas penulis makanan terkemuka, Andrew Knowlton menyenaraikan kedainya sebagai salah sebuah daripada 10 kedai makan jalanan terbaik di San Francisco dalam majalah Bon Appetit.

Dari situ, perniagaan Azalina berubah dari kedai makanan jalanan sehingga mempunyai rangkaian sos sendiri di Whole Foods Market dan juga menceburi bidang katering dimana dia pernah lakukan untuk satu majlis yang dihadiri oleh Presiden AS, Barack Obama.

"Saya mahu memberitahu orang ramai tentang mamak, siapa kami dan saya ingin memberitahu kisah itu menerusi makanan saya.

"Ia adalah makanan yang mengingatkan saya tentang budaya, keluarga dan kenangan. Anda tidak dapat menolaknya. Ia ada dalam keluarga dan jiwa anda. Lambat laun ia akan datang dan mencari anda walau di mana dan siapa anda sekali pun," katanya. ~ Sumber

Tonton Video beliau dibawah..

0 Komen untuk "Wanita meskin dari Pulu Pinang, Buka Restoran di Ibu Pejabat Twitter"

 
Copyright © 2014 ISU SEMASA - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info