Perginya Seorang Pembela Rakyat


Berikut adalah sebahagian daripada reaksi terhadap pemergian peguam kanan yang juga ahli politik veteran pembangkang, Karpal Singh.

Christopher Leong, Presiden Majlis Peguam Malaysia
Pemergian Karpal Singh adalah satu berita yang sangat menyedihkan bagi Majlis Peguam dan rakyat Malaysia. Beliau merupakan 'gergasi' di kalangan warga perundangan, seorang rakyat Malaysia yang terulung dan seorang yang berhati waja.

Karpal baru-baru ini berkata jika beliau tiada lagi, 100 orang lagi Karpal akan menggantinya. Sememangnya itulah harapan saya agar ianya menjadi kenyataan kerana Malaysia memerlukan Karpal dan memerlukan lebih ramai lagi orang seperti Karpal.

Beliau merupakan antara segelintir insan yang sangat dihormati kerana kepimpinan dan keberaniannya dalam menegaknya apa yang diperjuangkannya.

Pemergiannya adalah satu kehilangan besar bagi rakyat Malaysia. Majlis Peguam mengucapkan takziah kepada keluarga Karpal.

Mark Trowell, Queens Council 
Pemerhati bagi Lawasia dan kesatuan antara parlimen dalam kes perbicaraan Liwat 11 terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kes hasutan terhadap Karpal.

Pemergian Karpal merupakan satu kehilangan yang amat besar bagi Malaysia. Beliau merupakan seorang rakyat Malaysia yang terulung bukan sahaja kerana penglibatannya dalam politik, tetapi juga sebagai seorang peguam.

Beliau merupakan seorang yang tidak pernah menoleh ke belakang walau apa pun akibat yang terpaksa ditanggungnya. Kehidupannya mencerminkan sejarah moden Malaysia dan peristiwa-peristiwa yang telah membentuknya sebagai sebuah negara sejak mencapai kemerdekaan lebih daripada 50 tahun lalu.

Karpal Singh merupakan sebahagian daripada sejarah tersebut. Sesungguhnya, beliau merupakan "Harimau Jelutong".

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden PKR
Ucapan takziah kepada keluarga Karpal Singh yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya awal pagi ini. Beliau dikenali sebagai seorang pejuang keadilan yang telah meletakkan namanya sebagai seorang yang mewakili dan membela rakyat.

Semoga keluarga beliau banyak-banyak bersabar dan tabah dalam menghadapi dugaan ini. Malaysia telah kehilangan seorang pejuang rakyat.

Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang Parlimen
Kita telah kehilangan seorang sahabat, seorang pejuang yang tidak mengenal penat lelah dalam memperjuangkan keadilan; Karpal Singh seorang legenda! Kami mengucapkan takziah kepada keluarganya.
 
Copyright © 2014 ISU SEMASA - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info