Selepas dilanda musim kemarau, Kedah kini dilanda musim bunga. Suasana indah ini bagaikan berada di Korea dilimpahi guguran bunga Sakura, berwarna putih dan merah jambu.
Penduduk negeri ini dilihat tidak melepaskan peluang merakamkan saat indah itu apabila bunga-bunga yang jatuh berguguran menutupi permukaan tanah bagaikan hamparan permaidani.
Malah pengguna laman Facebook tidak terkecuali memuat turun keindahan suasana itu untuk dikongsi bersama sahabat handai, yang tidak berpeluang melihat sendiri keindahan alam ini.
Seorang pengguna Facebook dikenali sebagai Faisal turut mencadangkan agar sebuah taman diwujudkan hanya dipenuhi lanskap pokok ini, yang digelar pokok Sakura Malaysia.
Dalam komennya itu, Faisal mencadangkan antara lokasi sesuai antaranya Taman Jubli Emas Suka Menanti dan perkarangan Stadium Darul Aman.
“Alangkah cantiknya jika satu kawasan taman atau tanah lapang, dipenuhi lanskap pokok ini sahaja. Saya dapat bayangkan apabila musim bunga, pelbagai warna menghiasi kawasan. Tidak mustahil jadi tarikan pelancong ke Kedah,” katanya.
Tambahnya, Kedah berpotensi mewujudkan taman Sakura, seperti di Akasaka Palace Garden di Tokyo, atau Washington Monument yang dipenuhi pokok Cherry Blossoms, menarik ribuan pengunjung setiap kali bunganya mekar.
“Setiap kali musim bunga, berduyun pelancong berkunjung. Kedah boleh menjadi perintis wujudkan taman Sakura Malaysia dengan adanya taman khas, seperti di Bangalore sinonim dengan ros, Belanda (Tulip), China (Cherry Blossoms) dan Jepun (Sakura),” katanya.Pokok Tabebuia ini dikenali dengan nama pokok tecoma dan trumpet merupakan tumbuhan asli dari Mexico hingga ke bahagian utara benua Amerika Selatan.
Terdapat lebih 50 spesis Tabebuia yang dibezakan melalui warna dan bentuk bunganya.
Pokok daripada spesis ini mengeluarkan bunga berwarna putih, kuning, perak, merah dan merah jambu.
Ia ditanam di kebanyakan negara tropika sebagai pokok hiasan dan membiak melalui biji benih dan boleh dibiakkan melalui keratan batang atau ranting.
Pokok yang diberi gelaran Sakura ini memerlukan musim kering yang ketara sebelum mengeluarkan bunganya yang lebat. Antara keistimewaan pokok ini ialah ia mempunyai aktiviti seperti antibakteria dan antimalaria, selain sesuai dijadikan halangan angin, pokok hiasan di jalan raya dan perumahan.
Penduduk turut mendakwa apabila pokok itu mengeluarkan bunga yang lebat, selepas kemarau panjang, ia petanda bermulanya musim hujan.
Nurul Shamira Mohd Iqbal, 10, berkata, dia dan rakan terpegun dengan keindahan bunga itu dan merakamkan gambar untuk kenangan setiap tahun.
“Ramai orang yang lalu lalang di Jalan Gangsa ini, memberhentikan kenderaan dan merakamkan gambar di sini. Kawasan ini bagaikan sebuah taman berbanding hari biasa, hanya belukar,” katanya.Sumber