Antara Ramalan Saintis Dunia, Pencarian MH370 Akan Gagal


Saintis Dunia Ramal Pencarian MH370 Akan Gagal - Saintis David Mearns meramalkan misi pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 bersama 239 penumpang dan anak kapal yang hilang sejak 8 Mac akan menemui kegagalan, berdasarkan kepada petunjuk sedia ada.

“Saya terpaksa bersikap pesimistik dengan menyatakan misi pencarian MH370 berdepan kesukaran untuk menemukan rangka pesawat itu di dasar laut di selatan Lautan Hindi berdasarkan petunjuk yang ada,” katanya dipetik daripada temuramahnya dengan China Central Television, Sabtu lalu.

Beliau berkata, tempoh pencarian yang kini sudah melebihi 20 hari akan menyebabkan rangka pesawat itu sudah pun dibawa arus lautan ke pelbagai arah yang tidak diketahui.

“Biarpun jika ada serpihan M370 yang dapat dibawa naik, mustahil untuk menjejak kapal tersebut,” katanya.

Mearns, yang juga pakar pencari kapal karam dari United Kingdom, berkata beliau turut berpendapat kotak hitam MH370 tidak mungkin dapat dijumpai walaupun pelbagai peralatan dan teknik sedia ada digunakan.

Katanya, semua peralatan dan kemahiran itu masih tidak berupaya untuk mengesan pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.

“Satu-satunya cara untuk mendapatkan kotak hitam itu adalah dengan mencari dan menapis bangkai atau serpihan pesawat yang ditemui,” katanya.

Selain itu, beliau menjangkakan kos pencarian pesawat MH370 lebih tinggi dengan angka mencecah US$45 juta (RM147 juta), mengatasi kos pencarian Air France di Lautan Atlantik pada 2009.

“Pencarian MH370 memerlukan dedikasi yang teramat tinggi dan perbelanjaan beratus juta dolar, memandangkan ia sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya.

Pada 24 Mac, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pesawat MH370 disahkan berakhir di selatan Lautan Hindi selepas 17 hari hilang ketika dalam perjalanan ke Beijing dari KLIA pada jam 12.40 pagi.

Bagaimanapun, sehingga kini pasukan mencari dan menyelamat belum menemui rangka atau serpihan pesawat MH370 di kawasan yang dikatakan itu iaitu di kawasan barat Perth, Australia di Lautan Hindi, berdasarkan kepada maklumat diperolehi daripada data satelit. – MyNewsHub
 
Copyright © 2014 ISU SEMASA - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info