Objek Pesawat MH370 Dikesan??



Objek sepanjang 24 meter yang dikesan satelit di kawasan selatan Lautan Hindi berkemungkinan sayap pesawat Boeing 777-200ER, kata penganalisis.

Penganalisis Kejuruteraan Penerbangan, Dr Shamsuri Ahmad Mokhtar berkata jika spesifikasi 24 meter yang dikesan satelit ia berkemungkinan dari badan atau sayap pesawat.

Namun, katanya yang paling munasabah dengan saiz atau panjang itu ialah sayap Boeing 777.

"Difahamkan saiz debris yang dikesan ialah sepanjang 24 meter, kalau spesifikasi itu ia mungkin datang dari badan atau sayap Boeing 777.

"Dengan saiz 24 meter itu yang paling munasabah ialah sayap Boeing," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Dr Shamsuri juga berkata, jika debris bersaiz atau panjang 24 meter ditemui ia menandakan pesawat itu melakukan soft landing.

"Mana-mana pesawat, tidak kira Boeing atau tidak, jika seripihannya 24 meter, ia memberi petanda berlaku soft landing sebab ia tidak berkecai. Kalau ia terhempas dari satu ketinggian ia akan berkecai," katanya.

Hari ini, Perdana Menteri Australia Tony Abbot memaklumkan kepada parlimen negara tersebut mengenai penemuan dua imej satelit bersaiz 24 meter yang dipercayai tenggelam timbul di permukaan air berkemungkinan serpihan daripada pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Pesawat MH370 milik Malaysia Airlines (MAS) itu dalam penerbangan ke Beijing dilaporkan hilang sejak awal pagi Sabtu dan masih belum ditemui sehingga hari ini. Awani

Menteri Pengangkutan hantar Komando untuk Pengesahan
Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini berkata pesawat dan kapal telah dihantar untuk mengesahkan maklumat mengenai pengesanan kemungkinan objek yang ada kaitannya dengan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.

Bercakap kepada pemberita sebelum mengadakan pertemuan dengan delegasi Australia di Hotel Sama-Sama di sini, Hishammuddin berkata maklumat itu memberi penunjuk baharu dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat itu yang masuk hari ke-13 hari ini.

"Seperti yang telah saya lakukan dari hari pertama, kita akan mengikuti setiap petunjuk baharu. Marilah kita berharap ini adalah perkembangan positif," katanya, dan menambah kata adalah terlalu awal untuk mengesahkan lokasi objek itu ditemui.

Ditanya apakah jenis objek yang ditemui dan berapa lama akan mengambil masa untuk mengesahkannya, Hishammuddin berkata: "Kami tidak tahu. Pesawat dan kapal telah dihantar.

"(Ia) seperti yang kami lakukan dengan penemuan imej dari satelit China dan lain-lain objek yang memberi penunjuk awal. Kita menggunakan kaedah sama," katanya.

Hishammuddin enggan mendedahkan apakah maklumat yang disampaikan oleh kerajaan Australia hari ini.

Perdana Menteri Australia Tony Abbott berkata di Canberra pada Khamis bahawa imej satelit telah menunjukkan dua objek yang boleh dikaitkan kepada pesawat Malaysia yang hilang pada 8 Mac, menurut agensi berita Reuters.

Agensi berita itu memetik Abbot sebagai berkata dalam ucapannya di Parlimen "bahawa maklumat baharu dan kredibel telah diperoleh berhubung misi mencari ... di selatan Lautan Hindi."

Pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang pada 8 Mac kira-kira sejam selepas meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada pukul 12.41 tengah malam sebelumnya. Ia dijadual tiba di Beijing pada pukul 6.30 pagi pada hari yang sama. - Bernama
0 Komen untuk "Objek Pesawat MH370 Dikesan??"

 
Copyright © 2014 ISU SEMASA - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info